Empayar Tibet Sejarah_Tibet

Peta Empayar Tibet pada tahun 820, berhubung denga kuasa-kuasa penting.

Satu siri maharaja memerintah Tibet dari abad ke-7 sehingga abad ke-11. Pemerintahan Tibet kekadangnya terbentang sejauh selatan sehingga Bengal dan sejauh udara sehingga Mongol.

Kemunculan pertama dalam sejarah

Tibet muncul buat pertama kali dalam sejarah di dalam karya Geografi Ptolemy  dengan nama batai  (βαται), transkripsi Yunani bagi nama aslinya, Bod. Ia kemudian muncul dalam sejarah di dalam sebuah teks Cina yang merujuk kepadanya sebagai fa. Peristiwa pertama daripada sejarah Tibet tercatat disahkan secara luar apabila Raja Namri Löntsän (Gnam-ri-slon-rtsan) menghantar seorang duta ke China pada awal abad ke-7. [4]

Pengasasan dinasti

Tibet bermula sebagai sebuah kastil yang bernama Taktsé (Stag-rtse) di daerah Chingba (Phying-ba), Chonggyä (Phyongs-rgyas). Di sana, menurut Babad Lama Tibet :

"Sekumpulan pengkomplot meyakinkan Stag-bu snya-gzigs [Tagbu Nyazig] supaya memberontak terhadap Dgu-gri Zing-po-rje [Gudri Zingpoje], raja negeri lindungan kepada empayar Zhang-zhung di bawah dinasti Lig myi. Zing-po-rje meninggal dunia sebelum komplot tersebut dapat dilaksanakan, dan puteranya [Namri Löntsen] mengetuai komplot itu sebagai ganti selepas memperoleh sumpah taat setia daripada para pengkomplot." [5]

Kumpulan pengkomplot itu mengatasi kemaharajaan Zing-po-rje. Pada detik itu, Namri Löntsän merupakan ketua kepada sebuah negara baru yang akan menjadi Empayar Tibet. Kerajaan Namri Löntsän menghantar dua pasukan utusan ke China pada tahun 608 dan 609 yang menandakan kemunculan Tibet dalam arena antarabangsa. [6]

Pemerintahan Songtsän Gampo

Arca Maharaja Songtsän Gampo di sebuah gua yang terletak di Yerpa.

Songtsän Gampo (Wylie: Srong-brtsan Sgam-po) (lahir k.k. 604, maut 650) ialah maharaja agung yang memperluas kuasa Tibet dan secara tradisi dihargai kerana memperkenalkan agama Buddha ke Tibet. Ketika bapanya, Namri Löntsän, maut kerana diracuni pada sekitar tahun 618, [7] Songtsän Gampo mengambil alih kuasa selepas menumpaskan sebuah pemberontakan yang singkat.

Songtsän Gampo terbukti mahir dalam bidang diplomasi serta di dalam medan pertempuran. Myang Mangpoje (Wylie: Myang Mang-po-rje Zhang-shang), menteri maharaja, menewaskan Sumpa pada kira-kira tahun 627. [8] Enam tahun kemudian (k.k. 632-633), Myang Mangpoje dituduh kerana penderhakaan dan dihukum mati. [9][10][11] Beliau diwarisi oleh Menteri Gar Songtsän (Mgar-srong-rtsan).

Rekod-rekod Cina mencatat sepasukan utusan dari Tibet pada tahun 634. Ketika itu, Songtsän Gampo meminta perkahwinan dengan seorang puteri Cina tetapi ditolak. Pada tahun 635-636, Songtsän Gampo menyerang dan menewaskan kaum Azha (‘A zha) yang tinggal di Tasik Koko Nur yang terletak di sudut timur laut Tibet, dan yang mengawal laluan-laluan perdagangan yang penting masuk ke China. Selepas sebuah kempen ketenteraan terhadap China pada tahun 635-636, [12] Maharaja Cina bersetuju untuk memberikan seorang puteri Cina kepada Songtsän Gampo.

Pada kira-kira 639, selepas sebuah pertikaian antara Songtsän Gampo dan adik lelakinya, Tsänsong (Brtsan-srong), Tsänsong dibakar hidup-hidup oleh menteri sendiri, Khäsreg (Mkha’s sregs) (barangkali atas perintah si maharaja, abangnya). [10][13]

Wencheng (bahasa Tibet: Mung-chang Kung-co), puteri Cina, bertolak dari China pada tahun 640 untuk berkahwin dengan Songtsän Gampo, dan tiba setahun kemudian. Keamanan antara China dan Tibet dikekalkan pada sepanjang baki pemerintahan Songtsän Gampo.

Sämakar (Sad-mar-kar), adik perempuan Songtsän Gampo, dihantar untuk berkahwin dengan Lig-myi-rhya, raja Zhang Zhung. Bagaimanapun, ketika raja itu enggan menyempurnakan perkahwinan mereka dengan bersatu, Sämakar kemudian membantu abangnya untuk menewaskan Lig myi-rhya dan menggabungkan kemaharajaannya ke dalam Empayar Tibet. Pada tahun 645, Songtsän Gampo menakluki kemaharajaan Zhang Zhung yang terletak di Tibet barat masa kini.

Songtsän Gampo mangkat pada tahun 650, dan diwarisi oleh cucu bayinya, Trimang Lön (Khri-mang-slon). Bagaimanapun, kuasa yang sebenarnya terletak di tangan Menteri Gar Songtsän.

Pemerintahan Trimang Löntsän (650-677)

Menteri Gar Songtsän meninggal dunia pada tahun 667 selepas menggabungkan Azha ke dalam wilayah Tibet. Antara tahun-tahun 665-670, Kotan ditewaskan oleh Tibet. Maharaja Trimang Löntsen (Khri-mang-slon-rtsan) berkahwin dengan Thrimalö (Khri-ma-lod), seorang wanita yang akan menjadi tokoh terutama dalam sejarah Tibet. Maharaja itu mangkat pada musim sejuk tahun 676-677, dan Zhang Zhung memberontak selepas itu. Pada tahun yang sama, Tridu Songtsän (Khri-'dus-srong-rtsan), putera kepada maharaja tersebut, dilahirkan. [5]

Pemerintahan Tridu Songtsän (677-704)

Maharaja Tridu Songtsän memerintah di bawah bayangan Thrimalö, ibunya yang berkuasa pada satu pihak, dan klan Gar (Mgar ) yang berpengaruh pada pihak yang lain. Pada tahun 685, Menteri Gar Tännyädombu (Mgar Bstan-snyas-ldom-bu ) meninggal dunia dan adiknya, Gar Thridringtsändrö (Mgar Khri-‘bring-btsan brod ) dilantik sebagai ganti. [14] Pada tahun 692, Tibet hilang Lembangan Tarim kepada China. Gar Thridringtsändrö menewaskan tentera Cina dalam pertempuran pada tahun 696, dan merayu meminta perdamaian. Dua tahun kemudian pada tahun 698, Maharaja Tridu Songtsän menjemput klan Gar (melebihi 2,000 orang) ke sebuah majlis pemburuan dan membunuh kesemua mereka. Gar Thridringtsändrö membunuh diri, dan askar-askar yang taat setia kepadanya menyertai tentera Cina. Ini mengakhiri kuasa keluarga Gar. [5]

Dari tahun 700 sehingga kemangkatannya, Maharaja Thrimalö terus menyertai kempen ketenteraan di timur laut, dan semasa ketidakhadirannya di Tibet Tengah, ibunya Thrimalö mentadbirkan hal ehwal negara atas namanya.[15] Pada tahun 702, China dan Tibet mengikat sebuah perjanjian perdamaian. Pada akhir tahun itu, kerajaan Empayar Tibet mengalihkan perhatiannya kepada mengukuhkan penyusunan pentadbiran (skrip Tibet: khö chenpo; Wylie: mkhos chen-po) kawasan Sumru (Wylie: Sum-ru) timur laut, negara Sumpa yang ditaklukkan 75 tahun dahulu. Sumru disusun sebagai "tanduk" baru empayar. Pada musim panas tahun 703, Tridu Songtsän mendiami di Öljag (‘Ol-byag ), Ling (Gling ) yang terletak di hulu Sungai Yangtze, sebelum memulakan serangannya ke atas Jang (‘Jang ). Pada tahun 704, baginda mendiami buat tempoh yang singkat di Yoti Chuzang (Yo-ti Chu-bzangs ) yang terletak di Madrom (Rma-sgrom ) di Sungai Kuning. Baginda kemudian menyerang Mywa tetapi mangkat semasa pelaksanaan kempen tersebut. [15]

Pemerintahan Tride Tsuktsän (704-754)

Gyältsugru (Wylie: Rgyal-gtsug-ru ), bakal raja dengan nama Tride Tsuktsän (Khri-lde-gtsug-brtsan ), dilahirkan pada tahun 704. Selepas kemangkata Tridu Songtsen, permaisurinya Thrimalö memerintah sebagai pemangku raja kepada bayi Gyältsugru. [15] Pada tahun yang berikut, Lha Balpo (Lha Bal-pho ), putera Tridu Songtsen yang lebih tua, menandingkan pewarisan adiknya yang berumur satu tahun di Pong Lag-rang, dan "menggulingkannya". [15]

Thrimalö telah mengatur sebuah perkahwinan diraja dengan seorang puteri Cina. Puteri Jincheng tiba pada tahun 710, tetapi tidaklah begitu jelas tentang adakah puteri itu berkahwin dengan Gyältsugru yang berumur tujuh tahun [16] atau dengan Lha Balpo yang digulingkan. [17]Gyältsugru naik takhta secara rasmi dengan nama diraja Tride Tsuktsän pada kematian Maharani Balu Thrimalö dalam tahun 712. [15]

Orang Arab dan Turgis semakin menjadi ketara semasa tahun-tahun 710-720. Tibet bersekutu dengan orang Arab dan Turki timur. Tibet dan China bertempur sekali sekala pada akhir dekad 720-an. Pada mula-mulanya, Tibet (dengan Turgis, sekutunya) lebih berkuasa, tetapi kemudian mula mengalami kekalahan dalam pertempuran. Selepas sebuah pemberontakan di China selatan pada tahun 730 yang merupakan kemenangan utama Tibet, Tibet dan Turgis merayu meminta perdamaian.

Pada tahun 734, Tibet mengahwinkan puterinya Dronmalön (‘Dron ma lon ) kepada Qaghan dari Turgis. China bersekutu dengan orang Arab untuk menyerang Turgis. Selepas kemenangan dan perdamaian dengan Turgis, China menyerang Tibet secara mengejut. Tibet mengalami banyak kekalahan di timur, walaupun mereka berkuasa di barat. Empayar Turgis runtuh, akibat persengketaan dalaman. Pada tahun 737, Tibet melancarkan sebuah serangan terhadap Raja Bru-za (Gilgit) yang meminta bantuan daripada China, tetapi akhirnya terpaksa memberikan penghormatan kepada Tibet. Pada tahun 747, pegangan Tibet dilonggarkan oleh kempen ketenteraan Jeneral Kao Hsien-chih yang cuba membuka semula komunikasi langsung antara Asia Tengah dengan Kashmir. Menjelang tahun 750, Tibet hilang hampir semua tanah jajahannya di Asia Tengah kepada China. Bagaimanapun, selepas kekalahan Hsien-chih kepada tentera Qarluq dan Arab di Sungai Talas (751), pengaruh Cina merosot dengan cepat dan pengaruh Tibet disambung semula.

Pada tahun 755, Tride Tsuktsän dibunuh oleh Menteri Lang dan Menteri Bal. Kemudian Tagdra Lukong (Stag-sgra Klu-khong) mengemukakan bukti kepada Putera Song Detsän (Srong-lde-brtsan) bahawa "mereka tidak taat setia dan selain daripada menimbulkan pertelingkahan di dalam negara, mereka sudah hendak mencederakannya juga... Akhirnya, Lang dan ‘Bal betul-betul memberontak, dan mereka dibunuh oleh tentera, dengan harta mereka dirampas. Tagdra Lukong bolehlah dianggap diberikan ganjaran yang lumayan." [18]

Pemerintahan Trisong Detsän (756-797)

Pada tahun 756, Putera Song Detsän dimahkotai sebagai Maharaja dengan nama Trisong Detsän (Wylie Khri sron lde brtsan ) dan mengambil alih kerajaan Tibet selepas setahun tanpa maharaja. Menjelang tahun 755, China telah dilemahkan dengan ketara oleh pemberontakan dalaman yang berlangsung sehingga tahun 763. Sebagai perbandingan, pemerintahan Trisong Detsän dicirikan dengan penegasan semula pengaruh Tibet di Asia Tengah dan terhadap China. Pada tempoh awal pemerintahannya, kawasan-kawasan di sebelah barat Tibet memberikan penghormatan kepada istana Tibet. Sejak dari masa itu, Tibet menempuh wilayah maharaja-maharaja Dinasti Tang, dan tiba di Chang'an (Xian masa kini) pada tahun 763/764. Tentera Tibet menduduki Chang'an selama lima belas hari, dan melantik seorang maharaja boneka semasa Maharaja Daizong dari Tang berada di Luoyang. Pada masa yang sama, kelompok etnik Kirghiz merundingkan sebuah perjanjian persahabatan dengan Tibet dan kuasa-kuasa yang lain untuk membenarkan perdagangan bebas di kawasan itu. Suatu percubaan untuk mencapai perjanjian perdamaian antara Tibet dengan China dibuat pada tahun 787, tetapi permusuhan antara mereka berterusan sehingga sebuah perjanjian China-Tibet yang dipersetujui pada tahun 821 diukir pada batu di Lhasa pada tahun 823 (sila lihat di bawah). Pada masa yang sama, kelompok etnik Uyghur yang merupakan sekutu maharaja Tang pada nama sahaja, terus mengakibatkan kesusahan di sepanjang sempadan utara Tibet. Menjelang keakhiran pemerintahan raja ini, kemenangan-kemenangan Uyghur di utara mengakibatkan Tibet hilang sebilangan sekutunya di tenggara. [19]

Penyelidikan sejarah yang baru-baru ini menunjukkan kewujudan agama Kristian di Tibet seawal abad ke-6 dan ke-7 lagi. Tempoh ini merupakan tempoh yang kaum Hun Putih mempunyai hubungan-hubungan yang meluas dengan Tibet. [20] Kehadiran mereka yang kukuh wujud menjelang abad ke-8 ketika Bapa Timothy I (727-823) pada tahun 782 memanggil Tibet sebagai salah satu komuniti gereja timur yang lebih penting dan menulis pada kira-kira tahun 794 tentang keperluan untuk melantik lagi seorang biskop. [21]

Pemerintahan Mune Tsänpo (797-799)

Tidak terdapat banyak catatan tentang pemerintahan Mune Tsenpo (Wylie: Mu ne btsanpo ).

Pemerintahan Tride Songtsän (799-815)

Tride Songtsän (Khri lde srong brtsan) menghadapi perang yang berlanjutan dengan kuasa-kuasa Arab di barat. Pada awal-awalnya, Tibet kelihatan menangkap sebilangan askar Arab dan memaksa mereka berkhidmat untuknya di sempadan Timur pada tahun 801. Tentera Tibet giat sejauh Samarkand dan Kabul di barat. Tentera Arab kemudian mula lebih berkuasa dan gabenor Tibet di Kabul terpaksa berserah kepada tentera Arab dan menjadi seorang penganut Islam pada sekitar tahun 812 atau 815. Tentera Arab kemudian mara ke arah timur dari Kashmir, tetapi ditahan oleh tentera Tibet. Pada masa yang sama, tentera Uyghur menyerang Tibet dari timur laut. Pertempuran antara tentera-tentera Uyghur dan Tibet diteruskan buat satu tempoh. [22]

Pemerintahan Ralpacan (815-838)

Pemerintahan Ralpacan (Wylie: Khri gtsug lde brtsan) dicirikan oleh pertempuran-pertempuran dengan negara Uyghur di utara. Tentera Tibet menyerang wilayah Uyghur pada tahun 816 dan diserang pula pada tahun 821. Selepas sebuah serangan yang kecil masuk ke dalam wilayah Cina, China berjanji untuk memberikan puteri-puterinya kepada kedua-dua raja Uyghur dan Tibet sebagai permaisuri. Perkahwinan-perkahwinan ini, bersama-sama perjanjian China-Tibet, yang disiapkan pada tahun 821 (tercatat pada batu di Lhasa dan dihuraikan di bawah) menjamin keamanan selama hampir dua dekad. [23]

Pemerintahan Glang Darma (838-842)

Pemerintahan Glang Darma (Wylie: Khri 'U'i dum brtsan ) dilanda oleh masalah-masalah luaran. Negara Uyghur di utara runtuh di bawah tekanan Kirghiz pada tahun 840, dengan banyak orang yang tidak bertempat melarikan diri ke Tibet. Glang Darma sendiri kelihatannya dibunuh oleh seorang pertapa Buddhisme pada tahun 842. [24]

Rujukan

WikiPedia: Sejarah_Tibet http://www.tibet.ca/wtnarchive/1997/6/3-2_1.html http://www.china.org.cn/english/tibet-english/lish... http://www.canonymous.com/press/ecritique2/part2.h... http://taylorandfrancis.metapress.com/link.asp?id=... http://www.tibet.com/ http://www.mssu.edu/projectsouthasia/history/prima... http://www.mssu.edu/projectsouthasia/history/prima... http://cc.purdue.edu/~wtv/tibet/article/art4.html http://www.historyofnations.net/asia/tibet.html http://www.newleftreview.net/NLR24805.shtml